Selamat Datang Ke Laman Portal

Pusat Pembangunan Bakat & Inovasi

UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU

MENGENAI KAMI

Pengenalan

Pengurusan Bakat yang teratur dan menyokong pelan stategik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) merupakan nadi dan mekanisma yang kritikal dalam melonjakkan kecemerlangan sesebuah agensi. Bakat adalah sumber utama penggerak setiap KPI universiti dan perlu diperkasa melalui pelbagai inisiatif yang boleh memberikan keberhasilan sebagaimana yang disasarkan universiti. Keberkesanan pengurusan bakat juga telah diselaraskan dengan keperluan Revolusi Universiti 4.0 bagi menyokong ekosistem yang seimbang dan memenuhi keperluan semasa untuk menggerakkan keseluruhan kefungsian di UMT.

Tahun 2017 menyaksikan penstrukturan semula governan kefungsian pembangunan bakat di UMT di mana penggabungan Pusat Pembangunan Bakat Profesional (PPBP) dan Seksyen Latihan Pusat Pembangunan Bakat dan Inovasi Akademik (PPBIA) dijenamakan semula sebagai Pusat Pembangunan Bakat dan Inovasi (PPBI) bagi mengintegrasikan secara bersepadu pengurusan latihan bakat akademik dan bukan akademik. Program pembangunan bakat PPBI memfokuskan kepada pengukuhan kompetensi kefungsian bagi merapatkan jurang perbezaan antara tahap kompetensi sedia ada dengan tahap kompetensi jawatan yang ditetapkan oleh pihak universiti.

Kelestarian kepimpinan merupakan satu cabaran atau usaha yang perlu diberi perhatian oleh pihak pengurusan UMT sejajar dengan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) untuk memastikan kepimpinan universiti berada pada tahap yang sepatutnya. Sehubungan dengan itu, PPBI juga bertanggungjawab bagi membangunkan pelan pelapis yang komprehensif yang bertujuan untuk mengenal pasti, menilai dan membangunkan keupayaan pegawai bagi memenuhi keperluan UMT pada masa kini dan akan datang.

UMT amat mementingkan pembangunan dan pemerkasaan bakat. Setiap pelaksanaan tersebut memerlukan sokongan serta penerimaan yang positif dari setiap lapisan warga UMT. Semoga inisiatif dan program pembangunan kompetensi bakat dapat dilaksanakan dengan berterusan dan mendapat kerjasama daripada semua warga UMT bagi memastikan pembangunan bakat UMT terus cemerlang.

Misi

Menjana ilmu untuk kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam.

Generating knowledge for the prosperity of the community and world sustainability.

Visi

Universiti berfokus marin terunggul dalam negara dan disegani di peringkat global.

A marine-focused university, reputed nationally and respected globally.